I
|
nilah kisah seharian aku,sepanjang persediaan untuk masuk ke Darul Quran ni. Mula-mula perancangan kami sekeluarga nak mulakan perjalanan pukul 4 pagi dari Johor,sebab takut tak sempat sampai sebelum pukul 8.30 pagi di sana. Tapi akhirnya, perjalanan dimulakan agak lewat, dalam pukul 5.00 pagi. Aku yang terlampau ‘exited’ sampai tak tidur malam tu. Tidur pun sekejap saja. Jadi, sebab gerak lambat, ayah aku pun memecutkan kereta selaju mana yang boleh untuk sampai sebelum pukul 8.30 pagi….
Sepanjang perjalanan itu,aku rasa sungguh teruja untuk tiba ke Darul Quran walaupun hati membisik-bisik agar aku melenakan diri sebentar untuk menghilangkan keletihan yang masih berbaki. Lebih kurang pukul 6.30 pagi,kami tiba di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Nilai, Negeri Sembilan. Kami singgah sebentar untuk solat Subuh dan sarapan pagi.
Seusai solat subuh dan sarapan,lebih kurang pukul 7.15 pagi, kami meneruskan perjalanan ke destinasi yang semakin menantikan kehadiran kami. Sampai di Rawang, kakak aku yang mengambil alih untuk memandu kereta kerana ayah aku dah keletihan dan mengantuk. Aku semakin risau melihatkan jam di tangan sudah menunjukkan pukul 8.00 pagi. Takut terlambat pula untuk sesi pendaftaran di Dewan Muktamar, sepertimana yang tercatat dalam surat tawaran yang aku terima.
