March 9, 2011

Darul Taqwa...

Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Apakah aku kini kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba ? Begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudian dicampakkannya saja ke tepi jalan. 


"Assalamu'alaikum  pakcik, tolong kutip semula kertas tisu itu. Nanti pakcik juga yang rugi di Akhirat. Kebersihan itu sebahagian daripada iman." 


Terdengar satu suara menegurnya belakangnya, lalu dia bingkas berpaling. Siapa yang berani menegurku ? Aku Datuk Dr. Johar, orang besar di negara ini, desus hatinya. 


"Pakcik, biarlah saya tolong kutip, sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti pakcik pula yang didendanya," kata budak kecil berjubah putih dengan serban yang melilit kepalanya. 


Datuk Dr. Johar memperbetulkan tali lehernya yang sememangnya sudah rapi. "Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini. Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru berlapis-lapis," riaknya selamba sambil menyeluk ke dalam saku seluarnya. Namun, Datuk Dr. Johar terus diselubungi dengan 1001 tanda tanya di benaknya. 


Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter yang memecah sunyi bersimpang siur di udara. Railbus bercerakah di sana sini. Bullet Train meluncur laju bagaikan panah yang dilepaskan dari busurnya, tidak jauh dari pancainderanya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka, tingkahlaku mereka.. Ahh, di mana aku sekarang ini..?? gerutu hatinya sendirian. 


"Hoi budak, Aku di mana sekarang ?" soalnya kepada budak yang menyapanya tadi. 


Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan lunak suaranya. Apakah ini Aladdin, budak Arab dengan lampu ajaibnya ? Teka-teki ini terus menerjah kotak fikiran Datuk Dr. Johar yang sedari tadi perpinga-pinga dengan suasana itu. Budak itu membuka mulutnya untuk menjawab. Namun, belum sempat berkata apa-apa, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah, kilat dan berkilauan cahayanya dipanah sinar mentari. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru. 


"Assalamu'alaikum... Maaf pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah bertahun lamanya tidak berlaku di Darul Taqwa ini," kata salah seorang daripada mereka berdua. 


"Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman secara total. Oleh itu, pakcik didenda, 30 kali Subhanallah, 30 kali Astaghfirullah dan selawat 100 kali," kata seorang lagi pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. 


Datuk Dr. Johar tersentak. Apa kebendanya undang-undang sebegini. Tiada satu pun dewan bandaraya di dunia ini yang mengamalkannya.Dia tercengang-cengang. Namun egonya menggunung tinggi. Mengenepikan persoalan-persoalan yang bermain di mindanya sedari tadi. 


"Apa ? Kamu nak denda aku ? Kamu nak marah aku ? Nah,ambil ni duit lima ratus. Saya langsung tidak mahu buat apa yang kamu pinta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan ?" tanyanya angkuh.


To be continued..(n_n)

No comments :

Post a Comment