July 12, 2012

Perselisihan adalah Rahmat ?

إختلاف أمتي رحمة
“Perselisihan dalam kalangan umatku adalah suatu rahmat”

 Ulasan Sarjana
gambar semata-mata..tiada kena
mengena dengan 'post' ni =)
  • Al-Munawi dalam bukunya Faidh al-Qadir menukilkan kata-kata al-Subki tentang hadis ini:" Hadis ini tidak dikenali dalam kalangan para sarjana hadis dan aku tidak menjumpai sanad yang sahih bagi hadis ini, tidak juga yang daif mahupun yang maudu' "
  • Al-Albani juga menyatakan perkara yang hampir sama dalam buku Silsilah Ahadith al-Dhaifah:
    " Para sarjana ahli hadis sudah mengerahkan segala daya upaya mereka untuk mencari sanad (yang sahih) bagi hadis ini. Namun mereka tidak menjumpainya ".


Sekilas Pandang / Huraian

Hadis ini sering digunakan oleh sesetengah pihak yang ingin berhujah bahawa perselisihan dan perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam ini adalah suatu rahmat dari Ilahi. Sebenarnya, hujah sebegini boleh mendatangkan kesan yang negatif.

Sekiranya hujah ini digunakan, maka ia akan menyebabkan umat Islam tidak akan berusaha lagi untuk merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah yang sahih sekiranya mereka dapati ada percanggahan pendapat dalam kalangan mereka, mahupun antara para imam mazhab masing-masing.

Sesetengah orang tetap akan berpegang dengan pandangan mazhabnya walaupun mendapati pandangan tersebut jelas tidak bertepatan dengan dalil-dalil yang lebih kuat. Alasan mereka, tidak mengapa bercanggah pendapat kerana ia adalah suatu rahmat.

Sedangkan para imam mazhab sendiri memberi saranan dan berpesan supaya pengikutnya lebih mengutamakan dalil yang kuat sekiranya ada penbezaan pendapat.

Sepatutnya, jika didapati adanya percanggahan pendapat dalam kalangan sarjana Islam dalam sesuatu perkara, kita disarankan berpegang dengan pendapat yang bersandarkan kepada dalil-dalil yang lebih kuat. Inilah penyelesaian yang dianjurkan oleh para imam mazhab. Sebagai contoh, mari kita sama-sama renungkan kata-kata Imam Syafie sendiri:

“Setiap apa yang aku ucapkan, kemudian didapati adanya hadis sahih yang dilaporkan daripada Rasulullah SAW bercanggah dengan pendapatku, maka hadis itu yang lebih utama, jangan kamu mengikuti pendapat aku.”

Katanya juga:

“Jika kamu dapati apa yang ada dalam bukuku bercanggah dengan Sunnah Rasulullah SAW, maka berpeganglah dengan Sunnah dan tinggalkan pendapatku.”

Kata-kata Imam Syafie ini sudah direkodkan oleh az-Zahabi dalam karyanya Siyar A’lam al-Nubala’.

Tetapi sekiranya kita tetap berpegang dengan kata-kata bahawa perselisihan itu adalah suatu rahmat dan disandarkan pula kepada hadis palsu ini, maka kita tetap akan berpegang dengan pandangan yang jelas tidak bertepatan dengan dalil-dalil.

Dari sudut yang lain pula, jika dilihat kepada makna hadis ini, ia juga memberikan satu kefahaman yang salah. Hal ini seperti dijelaskan oleh Ibn Hazm dalam bukunya al-Ihkam fi Usul al-Ihkam. Selepas menerangkan kepalsuan hadis ini, beliau mengatakan:

“Kata-kata ini sangat buruk kesannya kerana sekiranya perselisihan itu adalah suatu rahmat, maka kesatuan dan perpaduan itu adalah suatu azab, dan sudah tentu perkara ini tidak pernah dikatakan oleh mana-mana orang Islam sekalipun. Ini kerana, di dunia ini tidak ada lagi lawan bagi perselisihan melainkan kesatuan, begitu juga lawan bagi rahmat adalah azab.”

Oleh itu, perselisihan adalah suatu yang tercela dalam agama ini kerana ianya boleh menyebabkan umat ini menjadi lemah. Cuba kita sama-sama renung ayat berikut:


And obey Allah and His Messenger, and do not dispute and [thus] lose courage and [then] your strength would depart; and be patient. Indeed, Allah is with the patient.

Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasulnya, dan kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran
dengan cekal hati); sesungguhnya Allah besama dengan orang-orang yang sabar.

(Surah al-Anfal : 46)

Diedit dari sumber:
40 Hadis palsu Popular,
Abdul Razak Muthalib.