September 9, 2011

Marhaban !!!

I

nilah kisah seharian aku,sepanjang persediaan untuk masuk ke Darul Quran ni. Mula-mula perancangan kami sekeluarga nak mulakan perjalanan pukul 4 pagi dari Johor,sebab takut tak sempat sampai sebelum pukul 8.30 pagi di sana. Tapi akhirnya, perjalanan dimulakan agak lewat, dalam pukul 5.00 pagi. Aku yang terlampau ‘exited’ sampai tak tidur malam tu. Tidur pun sekejap saja. Jadi, sebab gerak lambat, ayah aku pun memecutkan kereta selaju mana yang boleh untuk sampai sebelum pukul 8.30 pagi….

 Sepanjang perjalanan itu,aku rasa sungguh teruja untuk tiba ke Darul Quran walaupun hati membisik-bisik agar aku melenakan diri sebentar untuk menghilangkan keletihan yang masih berbaki. Lebih kurang pukul 6.30 pagi,kami tiba di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Nilai, Negeri Sembilan. Kami singgah sebentar untuk solat Subuh dan sarapan pagi.

Seusai solat subuh dan sarapan,lebih kurang pukul 7.15 pagi, kami meneruskan perjalanan ke destinasi yang semakin menantikan kehadiran kami. Sampai di Rawang, kakak aku yang mengambil alih untuk memandu kereta kerana ayah aku dah keletihan dan mengantuk. Aku semakin risau melihatkan jam di tangan sudah menunjukkan pukul  8.00 pagi. Takut terlambat pula untuk sesi pendaftaran di  Dewan Muktamar, sepertimana yang tercatat dalam surat tawaran yang aku terima.



Mujur juga kereta kami itu dilengkapi dengan system GPS. Alhamdulillah, dengan bantuan GPS itu, jumpa juga kami jalan untuk ke Darul Quran. Masih aku ingat lagi, ketika kereta kami tiba di pondok pengawal ketika itu, betul-betul tepat jam 8.30 pagi. Huh..tersenyum kegembiraan aku. Akhirnya impian,harapan dan cita-citaku untuk menjejakkan kaki ke bumi barakah Darul Quran ini, tercapai jua dan dimakbulkan oleh-Nya,Alhamdulillah…

Dengan semangat yang masih berkobar-kobar sebagai seorang yang bakal bergelar mahasiswa Darul Quran, aku melangkahkan kaki bersama mak dan ayah menuju ke Dewan Mukatamar untuk sesi pendaftaran. Namun,tiba-tiba kami ditahan daripada terus ke Dewan Muktamar. Tertanya-tanya juga aku,kenapa pula dihalang? Rupa-rupanya kami diminta untuk menjamu selera dahulu di balai berhampiran yang telah pun disediakan. Huh,sekali lagi sarapan pagi. Padahal masing-masing dah kekenyangan sebenarnya. Tapi kami pergi juga, sekadar minum untuk kedua kalinya.Hrmmm….

Lepas minum,barulah kami melangkah semula ke Dewan Muktamar untuk sesi pendaftaran. Terkejut kami dibuatnya. Rupa-rupanya kami antara yang terawal tiba untuk mendaftar. Giiran ke-35 daripada 250 orang yang bakal mendaftarkan diri,juga pada hari yang sama. Serentak dengan itu,ayahku pun bersuara..

”Kan ayah dah kata,awal lagi..tak payah nak tergesa-gesa sampai cepat sangat,tengok sekarang,baru berapa orang yang datang mendaftar”.Aku sekadar tersenyum mendengar selorohnya itu.Sudah lali dengan gurauannya barangkali. Selesai pendaftaran, majlis perasmian pula bakal menyusul.
           
………………..

            Ketibaan tetamu jemputan berarak masuk ke Dewan Muktamar. Beralaskan karpet merah yang masih baru,menuju ke pentas. “Para hadirin diminta berdiri”,pinta pengerusi majlis pada tengahari itu.

            Ucapan alu-aluan daripada Pengarah Darul Quran,Ustaz Hj. Paimuzi bin Yahya membuka tirai majlis yang gilang gemilang itu. Ringkas dan padat. Penuh dengan 1001 harapan dan semangat serta nasihat yang dikongsikan, khusus buat pelajar-pelajar baru Diploma Tahfiz Al-Quran  sesi 2011/2014.

Dipendekkan cerita,setelah majlis selesai, kami semua pun pergi pula untuk pendaftaran di bahagian asrama,yang dikendalikan oleh Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT). Selesai daftar, dan mengetahui nombor bilik, kami segera mencari-cari bilik yang tertera nombor, B39. Sampai ke tingkat atas aku mencari tulisan B39 di setiap pintu bilik,namun tak jumpa langsung. Pelik dan hairan mula timbul. Di mana sebenarnya bilik B39 ni? Diriku bertanya sendiri. Pada yang sama juga, ayahku bersuara dari bawah…

“Kat sini la B39,yang kau pergi panjat sampai tingkat atas tu buat apa?Buat penat kau je,”kata ayahku dengan disusuli dengan tirai tawa adik beradikku yang lain. Aku sekali lagi terdiam.Nak buat macam mana,’exited’ punya pasal. Setelah mengemas bilik yang bakal menjadi tempat tinggalku selama tiga tahun di sini,kami semua makan tengahari bersama-sama. Kemudian,sampailah pula masanya untuk keluargaku pulang, pergi meninggalkanku sendirian di bumi barakah ini…

Mutiara jernih seakan-akan memberontak untuk mengiringi perpisahan ini,mengalir sedikit demi sedikit ke pipi. Kemudian bertukar deras. Inilah kali pertama aku akan berada jauh daripada keluarga,untuk satu tempoh masa yang lama.Tiga tahun,bukanlah satu tempoh yang mudah untukku lalui,membiasakan diri di tempat dan suasana yang baru ini. Walaupun aku sebelum ini bersekolah di sekolah yang berasrama,namun perbezaannya amat ketara untuk dirasai.

“Semakin payah atau susah untuk
kamu mendapatkan Al-Quran,
semakin payah atau susah juga untuk
ia pergi meninggalkan kamu,
apabila kamu memperolehinya…”

“Jaga mata, jaga hati, jaga peribadi…”

“Teruskan istiqamah dan mujahadah…”


Inilah kata-kata yang membuatkan air mataku terus mengalir,seakan-akan tak mahu berhenti.Nasihat ikhlas ayahku ini seolah-olah membakar semangatku untuk berusaha seboleh daya mengkhatamkan hafalan 30 juzuk Al-Quran. Demi Allah, akanku perah keringat dan tenaga sepenuhnya untukku kotakan janji, cita-cita serta harapan keluarga dan ummah, di bumi barakah ini.
Insya-Allah…

* Aku dalam cerpen ni,adalah diri ana sendiri...