April 5, 2012

Dialog di pusara ayahanda...

S
eluruh kampung semacam tidak percaya. Tapi itulah hakikatnya. Ramli, anak arwah Pak Hamid (bukan nama sebenar), pulang dari luar Negara sebagai seorang jurutera dan hafiz. Semalam dia mengimami solat Tarawih. Lunak dan lancar bacaannya.

Mereka yang tidak kenal asal usul Ramli, kagum. Mereka yang mengenali lebih kagum. Saya adalah antara generasi anak kampung yang masih mengingati Pak Hamid. Malam setelah pulang dari solat Tarawih, saya berbual-bual dengan anak saya.

(gambar semata-mata)

“Ayah nak kamu contohi imam muda tadi. Sudahlah hafiz, jurutera pula.”
                       
“Hebat betul!”

“Kalau kamu tahu sejarah hidup beliau, kamu akan lebih kagum.”

“Ayah tahu?”

Saya mengangguk. “Dah tentu, ayah anak jati kampong ni.”


Mata saya merenung ke luar tingkap rumah. Pohon nyiur melambai-lambai dalam kegelapan malam yang disinari cahaya purnama. Dua hari lagi, Aidilfitri menjelang tiba. Sesekali pulang ke kampung terasa kedamaiannya. Nostalgia kisah Pak Hamid terbayang kembali di ruang mata.

“Ayah nak cerita ni sekadar mengambil iktibar. Bukan hendak memburuk-burukkan orang yang telah mati…” perlahan saya memulakan cerita.

“Kenapa begitu sekali ayah?”

“Pak Hamid terkenal di kampung sebagai seorang yang buruk perangainya. Solat tidak. Puasa tidak. Menjengah ke surau langsung tak pernah. Berjudi, minum arak dah menjadi kebiasaannya.”

“Ramli tu terseksa sejak kecil lagi. Dibentak-bentak. Makan minum, pakaian dan sekolahnya tak terurus langsung.”

“Tapi macam mana dia mencapai kedudukan seperti sekarang?”

“Itulah luar biasanya Ramli ni.” Dalam serba kekurangan dan cabaran tu, dia gigih. Rajin belajar. Berdikari mencari rezeki.”

“Ibunya macam mana?”

“Ibunya dah lama meninggal dunia. Kata orang itulah sebabnya Pak Hamid jadi begitu. Berubah sejak kematian isteri.”

“Sedih juga…”

“Kalau orang lain dah lama putus asa. Tapi Ramli tidak. Hasil keputusan cemerlang di sekolah rendah dia berjaya memasuki sekolah berasrama penuh. Dan entah macam mana kaedahnya, dia mampu meneruskan pencapaian akademik dan hafaz Quran sekaligus. Hebat”

“Sekarang ni ayah, dah ramai yang menempuh sistem tu. Ada caranya.”

“Baguslah. Jika berpeluang kamu ikut jejaknya. Kembali kepada kisah Pak Hamid. Dia meninggal tak lama lepas Ramli ke asrama penuh. Ayah masih ingat lagi…” saya sebak.

“Kenapa ayah?”

“Waktu Ramli pulang menjelang pengebumian jenazah ayahnya, dia menangis. Sebatang kara. Orang kampung kata macam-macam tentang arwah ayahnya. Berdosa besar. Jenazahnya berat, berat dosalah, macam-macam. Sedih ayah rasakan. Ramli yang masih muda tu terpaksa menanggung kecaman pada hari dia kehilangan orang yang disayanginya. Mujurlak datuk kamu ada.”

“Atuk pun ada peranan dalam  kisah ni?” tanya anak saya.

“Ayah masih ingat datuk kamu panggil Ramli untuk berjalan bersama  dari tanah perkuburan. Ayah ada sekali masa tu.”

“Apa kata atuk?”

“Ramli, kalau benar kamu sayangkan ayah kamu, jadilah anak yang soleh. Doakan dia. Itu sahaja jalannya untuk menyelamatkan ayah kamu di alam barzakh.”

Anak saya diam. Terkesima agaknya. Matanya mula redup.

“Datuk kamu menyambung lagi, untuk harumkan kembali nama ayah kamu di dunia, kamu belajar bersungguh-sungguh. Jadi orang yang berjaya dalam hidup. Insya-Allah, kecemerlangan kamu akan menjulang kembali nama ayah kamu yang dikatakan orang pada hari ini.”

“Macam mana reaksi Ramli waktu tu ayah?”

“Dia hanya mengesat air mata dan mengangguk-angguk.”

“Hebat betul, ayah. Sekarang semuanya semacam menjadi realiti.”

“Memang hebat. Anak yang baik lahir daripada seorang ayah yang sedemekian. Kamu bagaimana?”

“Saya bertuah, ada ayah!”

Saya diam. Terusik hati saya, adakah aku ayah yang baik?

“Kamu mesti terima kenyataan bahawa kita masih mampu menjadi anak yang soleh walaupun bapa kita bukan seorang yang soleh. Dan tidak semestinya bapa soleh maka anaknya secara automatik akan jadi anak yang soleh.”

“Kenapa ya?”

“Itulah bukti keadilan Allah. Dosa dan pahala tidak boleh diwariskan. Setelah akil baligh setiap kita punya potensi sendiri, nak menjadi baik atau sebaiknya.”

“Jadi, seorang ayah yang soleh tak boleh membentuk anak yang soleh?”

“Bukan begitu maksudnya. Didikan ibu bapa sangat memainkan peranan. Anak yang dididik secara baik, berpotensi besar menjadi anak yang soleh bila dewasa. Tetapi mesti ada usaha yang dia sendiri perlu lakukan untuk meneruskan program menjadi insan soleh. Jika program itu dipatuhinya, Alhamdulillah. Jika menyimpang, dia terima akibatnya.”

“Saya setuju. Ini bukti Tuhan tu adil. Jika tidak, setiap anak terpaksa menanggung akibat kesalahan ibu bapanya, tanpa berpeluang untuk mengubah keadaan dirinya. Juga sebaliknya.”

“Ya, itulah yang dibuat oleh Imam Ramli. Demi cinta kepada ayahnya, dibela maruah ayahnya di dunia dan akhirat. Tolong buat begitu jika ayah telah tiada ya…” semacam wasiat pula kata-kata saya.

Pada pagi raya, selepas solat Aidilfitri, kami sama-sama menziarahi pusara di pinggiran kampong. Saya lihat Imam Ramli duduk di tepi pusara ibu dan ayahnya. Saya dan anak-anak duduk di tepi pusara insan yang paling kami sayangi, ayah saya, datuk kepada anak saya. Lelaki yang pernah menasihati Imam Ramli. Mudah-mudahan rohnya bersemadi di sisi orang soleh.

Nasihatnya sangat memberi bekas. Saya yakin ayah ikhlas waktu itu. Dialog ayah dengan Imam Ramli belasan tahun yang lalu masih segar di ingatan. Saya di sisi mereka. Saya melihat air mata ayah mengalir sewaktu meluahkan nasihatnya. Oh, mampukah saya seikhlas itu?