November 10, 2011

Cinta yang Terhakis...

D
inding masjid bergegar-gegar. Terkesan dengan suara penyampai tazkirah.

“Tidak malukah kita bergelar huffaz tapi solat jemaah tak cukup lima kali sehari semalam?!”
“Wajarkah seorang yang bergelar “Hamalatul Quran” bermain bola sepak sampai tenggelam matahari? Siapa diri kita ini wahai sahabat dan sahabiah sekelian?!”

Hampir terpelanting mikrofon di tangan beliau. Terpana mata-mata yang melihat, dipasang ketat-ketat telinga yang mendengar. Terkunci mulut-mulut yang sedari tadi rancak berborak dan mengaji.Perkara ‘indah’ boleh juga menjadi kebencian sesetengah individu. Perkara baik jarang yang suka bukan?

Seringkali kita diajak ke arah kebaikan. Kita diajak bersama-sama untuk solat berjemaah setiap waktu. Kita sentiasa dihidangkan dengan tazkirah ringkas seusai solat Isyak sebagai halwa telinga,juga pengubat rohani. Dijemput ke majlis-majlis ilmu, talaqi, dan kita diperingat supaya menjaga adab pergaulan, ikhtilat, datang awal ke kelas, hormati para asatizah, hadiri usrah dan sebagainya…

Fenomena ini berlaku tika mana kita diikat dengan tarbiyah yang dicipta oleh badan-badan persatuan ataupun individu yang suka menjaga tepi kain pelikat orang. Tidak begitu?!

“Tarbiyah itu bersifat mengongkong,”kata si Ustaz.

“Kenapa Ustaz cakap macam tu?” salah seorang sahabat melontarkan persoalan.


“Iyalah. Kamu sukakah orang datang rumah kamu ajak pergi masjid. Sebelum tu diberinya tazkirah panjang lebar?” Sahabat tadi menggaru-garu kepalanya yang sememangnya tidak gatal.

“Ya tak ya juga Ustaz. Saya cukup rimas dengan kedatangan mereka tu. Macamlah kita ni tak pergi masjid.”

“Entum cukup ke lima kali berjemaah di masjid?” sengaja ditebak soalan sebegitu.

“Err..” tersengih-sengih sebahagian sahabat mendengarkan persoalan sebegitu,ada juga yang sekadar mendiamkan diri sahaja.

Sudah sah bahawa tarbiyah itu bersifat mengongkong. Kita dipaksa untuk melakukan sesuatu di luar rutin dan kebiasaan. Kita diburu oleh pemberi-pemberi peringatan. Rimas sungguh! Pendefinasian tarbiyah iaitu segala usaha yang dilakukan ke arah pengabdian diri kepada Tuhan juga merupakan suatu kaedah untuk mencapai kesempurnaan beribadah demi memperoleh keredhaan Allah Subhanahu wa Taala.

Secara umumnya, maksud tarbiyah lebih menjurus kepada suatu proses pendidikan yang berterusan, yang membawa manusia dari satu tingkatan ke satu tingkatan yang lebih baik, dari satu peringkat kepada satu peringkat agar diri lebih mencapai kedudukan yang terbaik di sisi Allah Taala.

Tidak perlu kita melangkah jauh untuk menggagau penafsiran tarbiyah yang lebih hebat. Lihat saja dalam kehidupan seharian dan bi’ah di persekitaran kita.

“Entum pernah bersekolah di sekolah berasrama?” Tanya si Ustaz kembali.

Terangguk-angguk sahabat yang kelihatan hairan dengan pertanyaan itu.

“Dulu masa main bola petang-patang, mesti warden asrama bawa rotan halau budak-budak balik asrama bukan? tanya Ustaz lagi.

“Hah. Betul tu Ustaz. Zaman sekolah dulu selalu macam tu. Tapi kalau balik rumah, emak atau abahlah yang sibuk bawa rotan,” ketawa sahabat berkenaan.

Menjengah ke masa silam, dari kecil hingga remaja, dan dari remaja hinggalah dewasa, kemudian menginjak ke usia emas, tidak pernah sekalipun kita terlepas daripada melalui medan tarbiyah. Melainkan kalau kita anggap hidup ni sebagai satu permainan yang sia-sia.

Usrah...
Kalaulah seorang anak kecil yang masih kurang akalnya dipukul ibunya kerana bermain-main di dalam parit depan rumah, kalaulah seorang remaja dibelasah bapanya kerana merempit hingga lewat malam, kalaulah kita ini di tahun pertama kampus diajak berusrah yang dikatakan sesetengah individu cukup membosankan, kalaulah pintu bilik kita diketuk pagi-pagi buta diajak ke masjid untuk sama-sama berjemaah Subuh, dan kalaulah………..

Terlalu banyak peringkat tarbiyah yang dilalui selama kita menginjak dewasa ini. Dari satu fasa ke satu fasa. Dari alam kanak-kanak hinggalah ke ‘alam emas’ iaitu saat segelintirnya kalut mengumpul pahala ibadah. Kalaulah si anak kecil tidak tahu bahawa parit depan rumah itu kotor, arusnya deras hingga boleh menghanyutkan…

Kalaulah remaja itu sedar merempit itu membahayakan kerana silap-silap haribulan, nyawa melayang di tengah jalan.

Kalaulah kita tahu usrah itu mengikat kita dengan ilmu, ukhuwah, mujahadah dan pengorbanan.

Kalaulah kita tahu beribadah di masjid itu memantapkan rohani dan jiwa.

Tidak terkira perkara yang bukan ‘cinta’ yang pernah kita terima sejak kecil. Perkara yang kita tidak suka diajak-ajak untuk diimarahkan. Perkara yang kita suka pula dihalang.

“Mengapa?” Yang kita suka itu sebenarnya ‘sengsara’. Yang kita tidak suka itulah sebenarnya ‘cinta’.
Adakah semakin dewasa diri, semakin terhakis ‘cinta-cinta’ dahulu?

Boleh jadi kamu memberi sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah:216)

Sekian...~
Credit to: muslim-wisdom.blogspot.com